Monday, July 2, 2012

UiTM hasilkan penebat bunyi daripada pokok pisang

Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin

Berita baik untuk pekebun pisang. Jika sebelum ini mereka hanya membuang batang pisang yang telah ditebang, kini mereka boleh menjana pendapatan apabila batang pisang yang dibuang mampu digunakan untuk menghasilkan papan penebat bunyi. Oleh itu mereka boleh menjual batang pisang yang ingin dibuang kepada industri yang berkenaan.

Penebat bunyi yang biasa terdapat di pasaran adalah berasaskan melamine dan busa Polyurethane. Bahan ini dihasilkan daripada bahan kimia yang telah diproses untuk menghasilkan papan penebat bunyi.  Meskipun, murah namun ia mempunya bahan kimia yang mungkin boleh membahayakan kesihatan. Tambahan pula, masyarakat global masa kini semakin mementingkan kesihatan dan lebih mementingkan alam sekitar.

Batang pisang dikupas untuk dikisar

Justeru penyelidik UiTM, Mohd Azril Riduan dari Fakulti Seni Bina dan Perancangan Ukur ingin menghasilkan penebat bunyi yang lebih mesra alam. Beliau menjalankan kajian dan mendapati bahawa batang pisang dan habuk kayu mampu menjadi penebat bunyi yang baik. Ini kerana batang pisang mengandungi serat yang mampu menyerap bunyi. Manakala habuk kayu yang berbentuk halus bertindak menutup liang-liang rongga pada papan partikel penebat bunyi yang dihasilkan. Oleh itu papan tersebut lebih padat dan mampu menghalang pengaliran bunyi dari melalui papan tersebut.

Batang pisang yang telah dikisar dan dikeringkan
Kaedah penghasilan adalah dengan melakukan pengeringan terhadap batang pisang dan habuk kayu bagi menyah lembapan. Batang pisang yang telah dikeringkan kemudiannya dikisar halus dan dicampurkan bersama habuk kayu dengan kadar peratusan yang tertentu. Gam resin digunakan untuk memastikan partikel-partikel batang pisang dan kayu bercantum dan kukuh. Kemudian, teknik pemanasan bertekanan tinggi digunakan untuk menghasilkan papan penebat bunyi.

Beberapa siri ujian telah dijalankan ke atas papan penebat bunyi yang dihasilkan. Hasil yang diperoleh nyata membuktikan ia mampu berfungsi setanding dengan penebat bunyi konvensional yang ada di pasaran. Kemampuan inovasi ini dipasarkan membuka peluang industri pembuatan yang berasaskan bahan-bahan pertanian terbuang yang boleh dikitarsemula dan mudah didapati serta ekonomik. Malah, penghasilannya juga tidak memerlukan kawalan keselamatan yang tinggi sementelah tidak berbahaya kepada kesihatan berbanding penggunaan bahan kimia.


1 comment:

  1. hye...sy berminat la tentang kajian ni...tp sy x brape paham..kedua2 bhn tu di campur dan di jadikan spt bentuk papan biase ke..??

    ReplyDelete