Monday, July 9, 2012

Dari Sisa Buangan Kepada Industri Perusahaan Seni

Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin

Umum mengetahui bahawa orang Mesir yang mencipta kertas dari pokok Papyrus pada tahun 3,700 Sebelum Masihi manakala T’Sai Lun, Pegawai di Istana Maharaja Dinasti Cina menghasilkan kertas daripada pokok Buluh pada tahun 105 Selepas Masihi. Kini, Penyelidik UiTM dari Sarawak menghasilkan kertas kraf dari sisa buangan sagu. Pokok sagu atau nama saintifiknya Metroxylon Sagu Rottboll sejenis pokok serba guna yang biasanya digunakan sebagai bahan makanan, bahan asas untuk pembuatan minuman dan alkohol malah turut dijadikan makanan untuk ternakan.
kertas yang dihasilkan daripada pokok sagu
Industri  pemprosesan sagu yang semakin berkembang di Sarawak menyebabkan lambakan sisa buangan daripada pokok sagu yang telah diproses. Menyedari masalah ini, Wan Samiati Andriana Wan Mohamad Daud, Dr Margaret Chan kit Yok, Norazlin Abdullah dan Safrina Muhammad, penyelidik dari UiTM Sarawak menghasilkan produk inovasi pembuatan kertas kraf daripada sisa buangan sagu. Sisa buangan tersebut banyak didapati dari kilang-kilang sagu yang terdapat di Sarawak khususnya di kawasan Mukah dan Pusak.
Mereka mencipta teknologi untuk menghasilkan kertas kraf dari sisa buangan sagu tersebut yang bebas asid, mesra alam dan mudah dilupuskan. Kertas yang terhasil mempunyai kepelbagaian dari segi tekstur. Ini kerana, material yang diperolehi dari pulpa sagu lebih kuat dan lebih kasar dan kebiasaannya berwarna keperangan. Namun begitu ianya boleh dilunturkan bagi menghasilkan kertas berwarna putih  sesuai untuk pembuatan beg kertas kedai runcit, sampul surat dan pelbagai pembungkusan yang sesuai.
Kertas kraf yang dihasilkan dari sisa buangan sagu sesuai untuk dijadikan kotak hadiah, pembalut hadiah  atau hasil-hasil seni yang lain. Ianya turut sesuai dijadikan kertas lukisan kerana kertas sagu mampu menyerap dengan baik air dan cat warna yang digunakan oleh pelukis.
Produk yang dihasilkan daripada kertas pokok sagu
Teknologi yang dihasilkan oleh penyelidik UiTM ini dilihat sebagai alternatif untuk pengguna kraf yang mementingkan kertas yang mesra alam dan menyokong ‘teknologi hijau’. Teknologi ini juga merupakan jawapan kepada pengusaha kilang-kilang pemprosesan sagu di Sarawak untuk masalah lambakan sisa buangan sagu yang meruncing. Bukan itu sahaja, ianya menjadi pemangkin kepada pekebun sagu dan industri perusahaan seni untuk menghasilkan sesuatu yang baru iaitu kertas sagu.

No comments:

Post a Comment