Monday, July 2, 2012

Penyelidik UiTM hasilkan Alat Bantu Mengajar untuk Kanak-Kanak Disleksia

Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada 2009, terdapat seramai 314,000 murid di Malaysia menghidap disleksia iaitu sindrom yang mampu merencatkan kebolehan individu membaca dan menulis. Disleksia (Dyslexia) adalah gabungan daripada perkataan yunani iaitu ‘dys’ yang bermaksud kesukaran atau kepayahan dan ‘lexis’ yang bermaksud huruf. Di Malaysia, disleksia hanya diperkenalkan kepada khalayak ramai buat pertama kalinya pada tahun 1993 melalui ‘Seminar Kebangsaan Pengenalan Kepada Disleksia’ yang dianjurkan oleh Kelab Rotary, Gombak.

Disleksia bukan penyakit tetapi gangguan pelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Mereka biasanya mempunyai masalah membaca, menulis, mengingat dalam jangka masa yang singkat, membezakan kiri dan kanan, dan juga menerima arahan yang banyak. Walaupun kanak-kanak disleksia memiliki IQ yang sama atau lebih daripada normal, mereka sering dilabelkan sebagai pelajar yang lembab. Akibatnya, ramai kanak-kanak yang mengidapi disleksia mempunyai masalah pencapaian akademik yang rendah di sekolah. Bahkan, jika masalah ini tidak ditangani di peringkat awal, kanak-kanak disleksia akan menghadapi tekanan hidup sehinggalah ke peringkat dewasa. Apabila masalah ini tidak ditangani dari peringkat awal, mereka akan mempunyai masalah sosial, psikologi, kesihatan, kehilangan peluang pekerjaan, mengalami tekanan emosi, dan bahkan tidak mempunyai asas kemahiran hidup seperti membaca menulis dan mengira. Justeru, mereka memerlukan kaedah pembelajaran dan alat bantu mengajar yang sesuai dan efektif.

Dari kiri: Fadilahwati, Ronaldi dan Fattawi
Penyelidik UiTM, Ronaldi Salleh dan Professor Dr Fattawi Mokhtar dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka telah bekerjasama dengan Fadilahwati Abdul Rahman dari Fakulti Pendidikan UiTM untuk menghasilkan alat bantu pembelajaran interaktif. Produk inovasi tersebut dikenali sebagai Komik Interaktif Mudah Alih Disleksia atau D-mic (Dyslexia Mobile Interactive Comic) dihasilkan untuk membantu kanak-kanak disleksia belajar mata pelajaran di peringkat sekolah rendah dengan menggunakan pendekatan komik interaktif yang dihasilkan dalam bentuk aplikasi mudah alih yang senang dibawa kemana-mana. Produk inovasi ini telah meraih pingat Emas dan Anugerah Khas di Pertandingan Rekacipta bertaraf dunia EUREKA 2010 yang berlangsung di Brussels, Belgium pada tahun lepas.

 
Produk inovasi yang pertama seumpamanya di Malaysia mempunyai pengisian pembelajaran (learning content) yang menggabungkan kaedah visual animasi, teks dan muzik audio untuk menarik minat kanak-kanak disleksia. Oleh kerana produk ini dihasilkan dalam bentuk aplikasi mudah alih, ianya boleh dipasang ke Personal Digital Assistant (PDA) atau Telefon Pintar (Smartphone), Portable Sony Play Station (PSP), dan juga komputer Tablet seperti iPad atau Samsung Galazy Tab serta kompter peribadi (PC). Pengguna hanya perlu membuka fail yang berkenaan dan terus menggunakannya. Justeru, produk ini amat sesuai untuk digunakan oleh sekolah-sekolah yang mempunyai kelas pemulihan khas ataupun ibu bapa yang mempunyai anak penghidap disleksia sebagai alat bantu pembelajaran yang interaktif dan mudah digunakan.

2 comments:

  1. assalamualaikum...saudari,bleh tak saya ambil sikit mklumat dalam ni...?utk assignment saya tntang kaedah pmbelajaran disleksia...trima ksih...

    ReplyDelete
  2. citizen eco drive titanium watch - iTanium-arts.com
    The watch features a two-way digital screen with four To activate the omega seamaster titanium Apple Watch titanium razor to access the titanium auto sales Apple Watch, you can use the Apple Watch titanium wedding ring App cerakote titanium App

    ReplyDelete