Monday, July 9, 2012

Fesyen Kiddy Kiddy Kid’s’ bawa mesej kesedaran

Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin

Masalah sosial yang melibatkan bayi dan kanak-kanak seperti pembuangan bayi dan penderaan terhadap kanak-kanak sering dipaparkan di dada akhbar. Kurangnya kesedaran oleh ibu bapa dan masyarakat di sekeliling terhadap kesejahteraan diburukkan lagi sikap ambil lewa akan kebajikan kanak-kanak menyebabkan hak asasi golongan ini terus dicabuli.
Prihatin dengan masalah tersebut, Fitrah Kamarudin mengambil inisiatif mencipta inovasi baru bagi menghantar mesej kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat supaya bersikap lebih prihatin kepada anak-anak. Beliau yang merupakan pelajar peringkat ijazah sarjana di Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA telah menghasilkan fesyen pakaian kanak-kanak yang diberi nama ‘Kiddy Kiddy Kid’s’ yang memaparkan mesej-mesej kesedaran untuk mengingatkan ibu bapa dan masyarakat tentang konsep penyayang.
Berbanding medium penyampaian seperti media elektronik dan media cetak yang lain yang tempoh masa penyampaian adalah terhad, Fitrah percaya fesyen yang dihasilkan oleh beliau mampu menjadi medium penyampaian mesej yang lebih baik kerana tempoh masanya yang lebih panjang iaitu sepanjang pakaian tersebut dipakai oleh kanak-kanak. Malah, dengan penggunaan warna yang terang dan menarik yang digunakan pada fesyen pakaian ‘Kiddy Kiddy Kid’s’ tersebut, ia mampu menarik perhatian orang ramai untuk melihat, membaca sekali gus menghayati mesej kesedaran yang beliau cuba sampaikan.
Beliau yang ditemui semasa pertandingan 22nd International, Invention and Design 2011 yang berlangsung baru-baru menyatakan bahawa beliau mengaplikasikan karakter kartun ‘Irah’ ciptaan beliau sendiri yang merupakan seorang gadis ceria, baik hati, gemar bermain dengan kanak-kanak serta gemar mengambil berat akan keadaan di sekelilingnya.  Pemilihan kartun sebagai agen penyampai mesej dilihat lebih berkesan dalam memberi didikan bukan sahaja kepada golongan kanak-kanak, namun kepada masyarakat umumnya kerana sifatnya yang lembut, mesra pengguna dan senang difahami.
Kanak-kanak menggayakan pakaian rekaan Fitrah
Antara mesej yang Fitrah sampaikan dalam fesyen pakaian yang dihasilkan oleh beliau adalah mengingatkan ibu bapa akan kepentingan penggunaan tali pinggang kaledar oleh kanak-kanak, kesan buruk terhadap kanak-kanak yang suka makan gula-gula dan bahaya air yang ditakung di dalam baldi kepada kanak-kanak. Isu-isu yang diutarakan adalah ringan dan biasa dilakukan oleh ibu bapa dan masyarakat. Justeru, mesej tersebut lebih mudah diterima dan difahami oleh golongan dewasa untuk bersikap lebih prihatin terhadap anak-anak.
Fitrah bersama pingat emas yang diraih di ITEX 2011
Fitrah menggunakan material seperti fabrik kapas dan fabrik kapas campuran dalam menghasilkan pakaian kanak-kanak tersebut kerana ia selesa dan mudah menyerap peluh, sesuai dengan perkembangan kanak-kanak yang sentiasa aktif. Untuk menghasilkan imej kartun, Fitrah menggunakan cat fabrik untuk melukis dan mewarnakan imej kartun tersebut. Pakaian ‘kiddy Kiddy Kid’s’ yang dihasilkan dalam pelbagai warna dan corak, turut didatangkan dalam rekaan kemeja T, jaket dan seluar.
 
Produk inovasi unik ini telah memenangi pelbagai pingat dan anugerah di peringkat kebangsaan antaranya pingat emas dan Anugerah Kreatif dan Inovatif di pertandingan National Research and Innovation Competition (NRIC) dan yang terbaru beliau telah meraih pingat emas di 22nd International, Invention and Design 2011 (ITEX 2011).

No comments:

Post a Comment