Monday, July 9, 2012

Inovasi Kasut Tumit Tinggi

Oleh: Puteri Murni bt Salleh Hudin

Wanita dan kasut tumit tinggi ibarat irama dan lagu. Sukar dipisahkan. Wanita yang memakai kasut bertumit tinggi tampak anggun dan berkeyakinan. Namun pemakaiannya dalam jangka masa yang panjang boleh mengundang kesakitan kepada si pemakainya seperti kesakitan pada bahagian rahang, leher dan kepala, gangguan kitaran haid malah membawa kepada masalah kesuburan.

Kasut bertumit tinggi
Justeru, penyelidik UiTM, Shaliza Shariff dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka telah mencipta kasut tumit yang boleh ditukar mengikut keperluan semasa seseorang wanita. Kasut ciptaan beliau mempunyai tumit yang boleh ditanggalkan dan mudah dipasang semula mengikut keselesaan pemiliknya. Kasut ciptaan beliau boleh dipasang tumit berketinggian daripada tiga inci dan ditukar kepada tumit serendah satu inci setengah. Ini kerana, hasil daripada kaji selidik yang dijalankan oleh Shaliza di tiga buah organisasi swasta, maklum balas yang diperoleh mendapati kebanyakan wanita yang bekerja mempunyai pelbagai kasut di pejabat untuk memenuhi keperluan yang berbeza. Sebagai contoh kasut tumit tinggi digunakan semasa mereka menghadiri mesyuarat atau pembentangan kertas kerja manakala kasut leper pula dipakai semasa melaksanakan kerja-kerja pejabat.

Kasut tumit yang telah dipasang platform untuk keselesaan
Kasut ciptaan Shaliza direka dengan bentuk separuh bulatan di bahagian depan untuk memberi ruang yang cukup untuk jari kaki bergerak. Langkah ini membantu mengurangkan kadar keletihan pada kaki. Kasut ini menggunakan bahan Polyvinyl chloride (PVC), manakala busa dari Ethylene-vinyl acetate (EVA) digunakan sebagai pad kaki kerana bahan tersebut bersifat lembut, fleksibel dan mampu menyerap tekanan dari berat badan pengguna. Bahagian tumit kasut ini menggunakan sejenis penyambung yang bertindak untuk melekat dan menanggalkan tumit kasut dengan mudah. Penyambung tersebut mempunyai selak di keliling tumit untuk mengelakkan tumit yang dipasang tertanggal daripada kasut.

Shaliza berhasrat untuk mencari industri yang boleh mengkomersialkan inovasi pada kasut tumit tinggi ini. Tambahnya, inovasi ini boleh diaplikasikan pada pelbagai jenis rekaan kasut tumit agar pengguna wanita mempunyai pelbagai pilihan dalam pada masa yang sama turut menjaga kesihatan kaki.

No comments:

Post a Comment