Monday, July 9, 2012

Inovasi Baru Pembuatan Kek

Oleh: Puteri Murni bt Salleh Hudin
Rakyat  Malaysia gemar kepada makanan manis khususnya kek. Kek menjadi sesuatu yang wajib ada terutama pada majlis sambutan hari lahir, perkahwinan dan majlis keraian yang lain. Namun begitu kek mempunyai kandungan lemak dan gula yang tinggi yang merupakan penyumbang utama kepada masalah  obesiti dan kencing manis.
Kini, muncul inovasi yang  mampu mengatasi masalah tersebut. Penyelidik UiTM, Prof. Madya Dr Noriham Abdullah dan ahli kumpulannya dari Fakulti Sains Gunaan telah menemui kaedah untuk menjadikan kek lebih berkhasiat dan ‘sihat’. Mereka menggunakan kulit kupasan buah untuk dijadikan salah satu bahan dalam pembuatan kek.

Kek deli fiber yang sedia dikomersilkan
Prof. Madya Dr Noriham Abdullah dan kumpulannya memulakan kajian ke atas kulit kupasan buah apabila melihat kulit buah-buahan yang telah dikupas banyak dibuang dan tidak digunakan khususnya di cafe yang ada menghidangkan buah-buahahan sebagai pencuci mulut. Sehubungan itu, kajian ini dilihat bukan sahaja mampu mengatasi masalah pembuangan sisa kulit kupasan buah-buahan malahan boleh dijadikan sebagai alternatif lain untuk menggantikan bahan pengawet tiruan yang sedia ada di pasaran. Untuk menghasilkan bahan pembuatan kek daripada kulit kupasan buah-buahan tersebut, mereka mengeringkan kulit kupasan tersebut sebelum mengisar untuk menjadikannya dalam bentuk serbuk.
Kajian mereka mendapati kulit hasil kupasan buah-buahan tersebut mengandungi kadar oksida yang tinggi, mampu memanjangkan jangka hayat sesebuah kek. Prof. Madya Dr Noriham dan ahli  turut menghasilkan kek Deli Fiber yang bermanfaat untuk kesihatan dan berpotensi untuk dikomersilkan. Kek Deli Fiber tersebut mengandungi pelbagai khasiat dari bahan kulit kupasan buah-buahan yang digunakan dalam pembuatan kek tersebut. Antara khasiatnya adalah kandungan antioksida yang tinggi. Kebanyakkan penyakit seperti Alzheimer, kanser dan masalah jantung dikaitkan dengan ‘tekanan oksida’ dalam tubuh iaitu kerosakan tisu badan yang berpunca daripada tabiat pemakanan individu dan persekitaran. Penyelidik mendapati antioksida banyak terkandung dalam tumbuh-tumbuhan terutamanya buah-buahan. Kebanyakkan kajian berkenaan bahan antioksida ini dilakukan ke atas gentian atau pulpa buah berbanding kajian yang dijalankan oleh Prof. Madya Dr Noriham adalah kulit kupasan buah. Beberapa kajian yang pernah dijalankan menunjukkan bahawa kandungan antioksida lenih tinggi di dalam kulit dan biji buah berbanding di dalam pulpa buah.
Pingat emas yang diterima untuk penyelidikan ini
Kek Deli Fiber yang dihasilkan oleh beliau juga mempunyai kandungan fiber yang tinggi. Umum mengetahui bahawa fiber merupakan salah satu elemen utama untuk individu yang ingin menurunkan berat badan. Pengambilan fiber yang tinggi mampu meningkatkan daya imunisasi individu sekaligus membantu meningkatkan kadar metabolisma untuk proses pembakaran lemak dalam badan. Kajian ini juga menunjukkan kadar fiber yang terdapat dalam kulit buah adalah tinggi. Justeru, menambah ‘kulit kupasan buah’ dalam kek akan mengurangkan kandungan lemak dan menjadikan kek tersebut lebih ‘sihat’.
Tarikan utama dalam aspek pemasaran industri makanan adalah khasiat dan rasa. Inovasi ‘kulit buah’ ini merupakan satu idea baru untuk industri makanan yang masih mengekalkan daya tarikah utama tersebut. Bahan yang diperolehi daripada sesuatu yang dibuang dan tidak dipedulikan sebelum ini, mampu menjadi sumber yang murah dan mudah didapati, mampu meningkatkan kadar keuntungan untuk pengusaha industri makanan yang berani mencuba inovasi baru. Masyarakat masakini semakin menitik beratkan khasiat pemakanan dan pengusaha industri makanan perlu menggunakan bahan pembuatan makanan yang lebih ‘hijau’ dalam produk mereka. Ini kerana, kita adalah apa yang kita makan.

No comments:

Post a Comment