Monday, July 9, 2012

Penyelidik UiTM hasil tepung dari bendi

Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin

Bendi ataupun nama saintifiknya Abelmoschus esculentus ditanam untuk pasaran kebanyakannya domestik. Seluas 1,620 hektar bendi ditanam dengan pengeluaran hasil sebanyak 20,980 tan bernilai RM63.2 juta . Kawasan utama penanaman bendi ialah di Johor (381 hektar), Kedah (261 hektar), Sarawak (222 hektar), Kelantan(135 hektar). Menurut kajian yang telah dilakukan, bendi kaya dengan kalsium dan mengandungi  90% air, 7% karbohidrat, 2% protein serta 1% fiber, malah bendi juga mengandungi mineral and vitamin yang baik untuk tubuh.

Pokok bendi mengambil masa selama 45 hari untuk berbuah dan pokoknya boleh bertahan selama lebih kurang tujuh hingga lapan bulan tanpa penanaman semula. Justeru, pertanian bendi menjadi pilihan utama para petani untuk menjalankan projek penanaman memandangkan sayur ini mudah ditanam dan dijaga serta mampu memperoleh hasil dengan cepat.
Noriza bersama biskut dari tepung bendi
Namun begitu, sekiranya sayur ini lambat dipetik dan dijual, ia akan menjadi liat dan keras. Oleh yang demikian, kerja memetik hasil ini perlu dilakukan setiap hari untuk mengelakkan saiz bendi daripada terlalu menjadi besar dan panjang. Ini kerana untuk tujuan pasaran, kebanyakan pengguna menggemari sayur bendi yang bersaiz sederhana dan tidak terlalu besar.
Menyedari masalah lambakan sayur bendi yang sudah tua dan tidak mampu dijual, Noriza Ishak dan ahli kumpulannya dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM telah menghasilkan tepung dari sayur bendi.  Tepung ini dihasilkan menggunakan bendi yang matang dan tua. Mereka menggunakan kaedah pengeringan untuk memudahkan bendi dikisar untuk dijadikan tepung. Tepung tersebut kemudian sesuai digunakan untuk pembuatan snek atau makanan ringan sekaligus mampu menjadi alternatif untuk menghasilkan makanan ringan yang berkhasiat.

Trofi yang diterima untuk inovasi tepung bendi
Inovasi ini membuka peluang kepada petani yang menjalanan projek penanaman bendi untuk menceburi industri baru iaitu pembuatan makanan dan membantu mereka menjana pendapatan sampingan. Memandangkan bendi bukan sayuran yang bermusim maka petani tidak menghadapi masalah kekurangan bahan mentah. Tepung bendi juga sangat ekonomi untuk dipasarkan kerana kos penghasilan yang murah dan bahan mentah yang mudah didapati mampu memberi pulangan yang lumayan kepada petani dan pengusaha industri yang berkaitan.
Inovasi ini pernah meraih pingat emas di pertandingan Penyelidikan dan Pembangunan, Brussels Innova 2010 di Belgium. Noriza Ishak juga merupakan finalis untuk Anugerah Pencapaian Malaysia 2011 kerana pencapaian beliau dalam penyelidikan teknologi makanan.

No comments:

Post a Comment