Monday, July 2, 2012

Penyelidik UiTM hasilkan snek daripada biji rambutan

Oleh: Puteri Murni Bt Salleh Hudin
Chef Azli bersama medal yang pernah diraih untuk inovasi ini

Bermula daripada tergigit biji rambutan secara tidak sengaja, seorang penyelidik UiTM berjaya menghasilkan snek berkhasiat daripada biji rambutan. Snek yang dipanggil Rambuseed Florentine menggunakan 40 peratus biji rambutan yang telah dikeringkan sebagai bahan utama. Mohamad Azli Razali yang merupakan pensyarah di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan menyatakan bahawa Florentine adalah sejenis manisan yang berasal dari Negara Itali. Manisan tersebut terdiri daripada pelbagai jenis kacang seperti badam, walnut dan hazel dan disaluti dengan gula karamel. Beliau yang juga merupakan juara pertandingan realiti memasak “Maggi Mencari Bintang” telah mengadaptasi makanan Itali tersebut mengikut selera tempatan.
Proses penyediaan bar tenaga rambuseed



Keunikan produk ini adalah ianya menggunakan bahan terbuang. Ini kerana kebiasaanya biji rambutan tidak dimakan dan akan dibuang begitu sahaja. Justeru, penggunaan biji rambutan untuk snek ini dilihat sebagai salah satu cara untuk mengoptimumkan penggunaan biji rambutan. Selain daripada itu, penggunaan biji rambutan yang telah dikeringkan dapat mengurangkan kos pembuatan snek tersebut. Ini kerana kacang seperti badam,walnut dan hazel adalah mahal memandangkan kacang tersebut diimport dari luar negara. Lebih istimewa, meskipun rambutan merupakan buah-buahan yang bermusim,biji rambutan boleh dikeringkan dan disimpan bagi memenuhi permintaan di luar musim buah rambutan.



Rambuseed Florentine sedia dipasarkan


Snek ini juga terbukti mampu dijadikan sebagai makanan kesihatan. Menurut kajian yang dilakukan oleh Solis-Fuentes et al., 2010 daripada Journal Bioresource Technology menyatakan bahawa biji rambutan mengandungi nutrisi seperti protein (7.80%) karbohidrat (46%) , serat (11.6%) selain mengandungi asid lemak seperti oleic (40.3%), arachidic (6.1%), palmitic (7.1%) dan stearic  (6.3%). Asid oleic dan Asid Stearic  mampu mencegah penyakit berkaitan jantung. Produk unik ini telah memenangi pingat gangsa di pertandingan rekacipta Inventions, Innovations and Design (IID) peringkat UiTM. Produk ini telah mendapat maklumbalas yang baik daripada pengunjung yang menghadiri pertandingan itu. Rasanya yang rangup, lemak manis dan sedap menjadi tarikan kepada orang ramai. Azli yakin produk ini akan mendapat sambutan sekiranya dipasarkan kerana pelbagai snek kacang yang telah berada dipasaran tetapi belum ada pihak yang menghasilkan snek daripada biji rambutan ini. Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk ini bolehlah mengunjungi blognya di
www.azlirazali.blogspot.com atau email azlirazali77@yahoo.com.

(artikel ini telah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 16 Mei 2011)

1 comment:

  1. boleh saye tahu kandungan nutrisi dalam rambusseed flonteritine?

    ReplyDelete